3
Amalan Yang Tidak Terputus Pahalanya
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah
bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga
perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang
berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).
PENJELASAN HADITH :
Di sini jelas menunjukkan kepada kita betapa
tingginya nilai rahmat dan kasih Allah terhadap hambanya, memberikan peluang
untuk memperolehi pahala walaupun kita sudah berada di alam barzakh. Sekarang
terserahlah kepada kita untuk mengambil peluang keemasan ini selagi hayat masih
ada.
A.
AMAL JARIYAH
Amal jariyah merupakan amalan yang terpuji disisi
Allah antaranya ialah membangun masjid atau sekolah, mewakafkan kitab-kitab
bermanfaat kepada masjid dan lain-lain lagi. Perkara ini ada disebutkan dalam
hadith, riwayat Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang kira-kira
bermaksud:
''Sesungguhnya amal dan kebaikan yang terus
mengiringi seseorang ketika meninggal dunia adalah ilmu yang bermanfaat, anak
yang dididik agar menjadi orang shaleh, mewakafkan Al-Quran, masjid, membangun
tempat penginapan bagi para musafir, membuat irigasi, dan bersedekah.'' (HR Ibn
Majah).
Berikut disenaraikan antara fadilat-fadilat amal
jariyyah berbentuk sedekah ialah :
1) Bersedekah merupakan jalan kepada pintu-pintu
kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan.
2) Ikhlasnya bersedekah dapat meringankan kesusahan
seseorang.
3) Harta orang yang bersedekah tidak akan
berkurangan malah ianya akan bertambah.
4) Dengan bersedekah, kita akan terhindar dari bala
dan umur juga diberkati serta menjadi panjang.
5) Merahsiakan sedekah memadam kemurkaan Allah
manakala sedekah secara terang-terangan pendinding api neraka.
Oleh itu, kita diseru agar sentiasa melakukan amal
jariyah dengan penuh keikhlasan kerna ianya bukan sahaja memberikan maslahat
kepada masyarakat amnya.Bahkan pahalanya akan sentiasa mengalir walaupun kita
telah menghembuskan nafas terakhir. Maka tidak rugilah harta yang telah
disedekahkan pada jalan Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah,
ayat 262 yang kira-kira bermaksud :
Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan
Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan
menyebut-nyebut pemberiannya dan tidak menyakiti perasaan si penerima, mereka
memperolehi pahala di sisi tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka
dan tidak pula mereka bersedih hati.
B.
ILMU YANG
BERMANFAAT.
Menuntut ilmu adalah amat digalakkan tidak kiralah
ilmu pengetahuan itu berbentuk keagamaan mahupun saintifik atau ekonomi. Apa jua
ilmu bermanfaat yang telah kita pelajari sewajarnya kita aplikasikan dalam
kehidupan seharian. Dan amat beruntung lagi jika ilmu sedemikian disebarkan dan
diajarkan dengan meluasnya kepada orang ramai bersesuaian dengan sabda
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :
Yang kira-kira bermaksud : Sampaikanlah dariku walau
sepotong ayat.
Sesungguhnya mereka yang berilmu dan
menyembunyikannya adalah termasuk daripada orang-orang yang rugi. Hidup mereka
cuma setakat mendapat kepuasan diri sendiri dan pahalanya hanya setakat didunia
sahaja. Begitu juga mereka yang luas ilmunya akan tetapi kurang mempunyai adab
dalam menuntut ilmu seperti melawan guru bermegah-megah dan merasakan ilmu yang
diperolehinya sudah cukup hebat, ilmu yang mereka perolehi hanyalah sia-sia dan
tidak mendapat berkat dari yang Maha Esa.
Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi ada
mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan
diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari
api neraka pada Hari Kiamat."
Berlainan dengan mereka yang ikhlas memberikan ilmu
yang bermanfaat sebagai contoh pensyarah dan guru. Tidak terbatas hanya
mengharapkan imbalan gaji yang diterima.Generasi ilmuan seperti ini perlulah
mempunyai hati yang ikhlas demi mengharap redha dan berkat Allah dalam
menjalani kehidupan. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui apa jua yang kita
sembunyikan.
Di sebabkan nilai keikhlasan amalan seseorang dalam
mengajarkan ilmu mereka inilah, Allah mengangkat darjat para ilmuan dikalangan
para sahabat dan ulama dan menjanjikan pahala yang besar kepada kita baik
semasa kita hidup ataupun telah meninggal dunia.
C.
DOA ANAK YANG
SOLEH.
Anak merupakan amanah Allah yang amat bernilai
kepada kita bagi mencorak dan melahirkan generasi yang bakal menerajui dunia
yang penuh pancaroba. Didikan agama yang betul adalah amat dititik beratkan.
Insyaallah anak yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya bukan sahaja menjadi
harapan bangsa dan masyarakat Islam malah kepentingannya kembali kepada orang
tuanya itu sendiri. Dengan ini, tidak rugilah mereka yang mempunyai anak yang
soleh dan solehah kerna mereka lah yang akan sentiasa mendoakan orang tuanya
setelah mereka meninggal dunia dan berikutan ini bertambahlah pahala orang tua
tersebut hanya kerana sebuah doa dari anaknya.
PENGAJARAN YANG DAPAT KITA AMBIL DARI HADITH DI ATAS
:
1) Islam menggalakkan hambanya agar sentiasa
bersifat ikhlas dalam melakukan amalan-amalan yang terpuji.
2) Galakan terhadap semua umat islam agar
menggunakan kesempatan hidupnya dengan melakukan 3 perkara tadi iaitu amal
jariyah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kerana pahala daripada
melakukan amalan-amalan ini tidak akan putus sekalipun kita sudah tiada.
3) Seruan kepada kedua orang tua agar sentiasa
menitikberatkan dalam mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah yang baik.
4) Amal jariyah seperti bersedekah mempunyai fadilat
yang banyak sepertimana yang disebutkan didalam ayat-ayat al-quran dan hadith-hadith.
5) Ilmu yang berkat adalah bersumber dari
keikhlasan, kecekalan hati dalam menimba ilmu pengetahuan disamping menjaga
adab dan displin ketika belajar.
Komentar
Posting Komentar